Monday, May 22, 2017

Klinik Hati : Bab 6


BAB 6


Afia bermain dengan jari jemarinya sendiri. Tak terangkat wajahnya untuk memandang orang tuanya yang duduk berhadapan dengannya dan Emir. Dia tiada pilihan. Emir terlalu memaksa. Emir terlalu pandai memanipulasikan dirinya. Dia kalah dengan hujah-hujah Emir. Dia tewas dengan arahan Emir. Tak sangka dia akan bisa mengikut telunjuk lelaki ini saja. Terkenang dia apa yang terjadi malam semalam.
“Hal kita?” Afia tidak sedap hati apabila Emir berkata hal itu. Hal apa sebenarnya ini?
“Hal kita. Kita perlu kahwin. I nak you jadi isteri I.” Kenyataan Emir bagaikan batu besar menghempap kepalanya. Kahwin?
“Kahwin? Kenapa pula? Sebab saya mengandung macam tu.” Afia nyata tidak puas hati dengan saranan Emir.
Pada Afia cukuplah dengan masalah yang ada sekarang. Tak perlu hendak menambah apa-apa lagi masalah yang ada. Dia bakal bergelar ibu dan itu pastinya mengubah kehidupannya seratus peratus tapi dia tak ada hasrat hendak menambah satu lagi tanggungjawab besar dalam hidupnya untuk masa terdekat ini sebagai seorang isteri kepada lelaki yang dia tak cintai dan tak mencintai dia pulak tu.
“Ya. Sebab you mengandung. Yang paling tepatnya sebab you mengandungkan anak I. You dah bacakan perjanjian antara I dan Khyla? Dalam tu cukup jelas menyatakan I akan kahwini Khyla kalau dia mengandung. Tapi sekarang you yang mengandung anak I jadi I kena kahwini you.” Afia rasa nak mengamuk je mendengar alasan Emir.
 Perkataan ‘kena’ tu yang membuat kepalanya makin berasap. Kena? Amboi boleh lagi lelaki di sebelahnya ini menggunakan perkataan kena tu? Sepertinya dia pula yang memerangkap lelaki itu sehingga lelaki itu terpaksa mengahwininya. Banyak cantik.
“Kena? Saya tak mintalah awak kahwin dengan saya Emir. Walaupun saya tak pernah bersedia nak menghadapi masalah macam ni, tapi saya tahu saya mampu nak besarkan anak ni seorang diri. Lagipun awak berjanji dengan Khyla bukan saya. Awak tak perlu KENALAH kahwin dengan saya.” Ujar Afia terus bangkit. Hangat untuk terus duduk di sebelah Emir.
“Duduk dulu.” Lembut sekali nada Emir menghalang Afia. Macam merayu Afia bersabar pun ada.
 Terhalang pergerakkan Afia apabila tangan Emir menarik tangannya lembut untuk kembali duduk di tepi Emir. Dengan malas Emir kembali melabuhkan punggungnya.
“Baiklah. I bukan kena kahwin tapi perlu kahwini you. Memang perjanjian I dengan Khyla tapi sekarang ni you yang mengandungkan anak I. Macam mana you menolak sekalipun you tak boleh nafikan I ada hak ke atas anak ini.” Ujar Emir petah sekali.
Saat Emir menyatakan haknya ke atas kandungan Afia, terasa tangan lelaki itu kembali melekap di perut Afia. Menunjukkan bukti yang apa dia katakan itu benar belaka. Sedikit rasa bangga terbit di hatinya dengan kehadiran benihnya itu.
“Tak kan sampai perlu kahwin. Awak kena ingat Emir, anak ni anak luar.... Kalau ikut hukum anak ni hanya ada pertalian dengan ibu yang dia kandung je bukan dengan sesiapa pun sekalipun awak tu ayah dia.” Ujar Afia.
Terlalu sukar untuk dia menghabiskan ayat anak luar nikah itu. Rasa tak sanggup nak berkata begitu. Apabila itu kebenarannya Afia tak mampu menolak selain daripada belajar menerima kenyataan.
“Sebab tu I ajak you kahwin dengan I untuk kebaikan anak kita juga. I dah tanya dengan ustaz, kalau anak ni lahir selepas enam bulan dari tarikh pernikahan kita. Kita boleh binkan atau bintikan anak ini dengan nama I.” Nampaknya Emir cukup bersedia dengan semua jawapan yang dia ingin persoalkan.
“Memang awak boleh bin atau bintikan dia atas nama awa. Tapi awak sedar tak yang awak tetap tak ada hak ke atas anak ni Emir walaupun kita dah kahwin nanti. Dia tetap bukan mahram dengan awak kalau anak ni anak perempuan. Awak tahukan? Kenapa awak boleh buat keputusan macam ni? Awak tahukan walaupun kita tak bersama tapi cara saya mengandung ni tetap haram? Benih yang disemai tanpa ikatan yang sah walaupun apa cara sekalipun tetap haram Emir.” Terlalu banyak persoalan yang ingin Afia lontarkan. Ingin dia ketahui kenapa begitu pendek akal Emir.
“Apa yang you cakap ni Afia. Kita tak berzina. Anak ni...” Belum sempat Emir menyudahkan kata-katanya, Afia terlebih dahulu memintas. Tak sanggup rasanya Afia mendengar Emir meneruskan bicaranya..
“Memang kita tak buat itu semua. Tapi dalam islam, cara permanian beradas yang awak maksudkan tu adalah haram bagi pasangan yang belum ada akad nikah. Jadi anak ini anak luar nikah...” Perlahan sekali ayat terakhir itu terbit dari bibir Afia. Sungguh walau seribu kalipun dia menyebut perkataan anak luar nikah itu, Afia tak pernah merelakan darah dagingnya di panggil dengan gelaran itu. Pedih dan sedih.
“Ya Allah.” Ujar Emir sambil meraup wajahnya. Seperti dia baru sedar dari mimpi panjang lagaknya. Bagaikan baru tersedar satu kesilapan.
“Maafkan I, Afia. I terlepas pandang pekara tu. I...” Bibir Emir mengucapkan kata-kata yang bagai tak tercapai nadanya.
Afia nampak kekesalan di wajah Emir. Seolah-olah sebelum ini lelaki itu tak terfikir pun perkara tersebut. Ya Allah, haruskah dia marahkan lelaki itu yang terlalu cetek pemikirannya hingga alpa dengan hukum hakam agama. Atau perlukah dia kesiankan Emir? Sudah hatinya sendiri tiada jawapannya.
“Saya tak tahu nak cakap macam mana dah. Sekarang kita dah tak boleh berpaling lagi. Tapi awak jangan risau saya akan jaga anak ini sebaiknya. Walaupun tanpa awak.” Kesal Afia juga.
Dia sendiri tak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Tapi dia tak sanggup nak menambah sebarang masalah hanya kerana Emir ingin mencapai kehendaknya. Urusan Perkahwinan bukan urusan mudah. Dia tak mahu memegang gelaran isteri orang hanya setahun dua. Dia inginkan ikatan itu kekal selamanya. Tapi Afia juga sedar menolak tawaran Emir, bererti dia akan berhadapan dengan umpat keji masyarakat. Sungguh tertekan dia kala ini,  dek kerana jiwa yang kian terhimpit ini airmatanya mengalir juga.
“Jangan cakap macam tu Afia. Walau macam mana sekalipun, kita tetap akan kahwin juga. I tak nak anak ni dicerca nanti. Lagipun macam mana you nak hadapi dunia luar sana kalau you bersendirian?” Pujukkan Emir itu membuatkan airmata Afia semakin laju mengalir.
Afia akui kebenaran kata-kata Emir. Tak terbayang dek akal fikirannya bagaimana dia harus hadapi masyarakat setelah perutnya ini membesar nanti? Bagaimana untuk dia menghadapi wajah ibu dan abahnya? Mengingatkan abahnya yang ada penyakit jantung dan darah tinggi itu menyebabkan hati Afia berbelah bagi.
“I tahu you boleh je pergi ke luar negara. Tapi you nak ke tinggalkan kerjaya you kat sini? Sanggup?” Usulan Emir itu membuatkan semakin berbelah bahagi rasa hatinya. Dia sedang menerpa nama di pekerjaannya. Lari ke luar negara seperti yang disarankan itu, bererti dia perlu bermula semula.
“Saya...” Tak mampu Afia menzahirkan kata-kata. Hanya tangisan dia saja yang kendengaran. Semakin lama semakin lebat tangisan Afia saat itu. Tahu dia sudah sampai di jalan buntu. Hanya air mata tempatnya melepaskan segala rasa.
“Hushh... Kita kahwin Afia. Itu jalan terbaik sekarang ini. Untuk kita dan anak ni.” Pujuk Emir lagi. Tangan Afia dicapai dan digenggam erat. Saat Emir menyatakan saranan itu, Afia sudah tiada pilihan lain lagi kecuali mengangguk dalam keterpaksaan.
“Kenapa Khyla buat saya macam ni? Kenapa?” Tangis Afia kesal dan kelukaan.
Saat itu Afia rasa langsung tak berdaya. Terasa dia hilang kawalan pada hidupnya sendiri. Apabila Emir mengusap pergi airmatanya dan menarik kepalanya ke dada lelaki itu dia hanya membiarkan saja. Tak mampu untuk melawan.
“I akan selesaikan Khyla. You jangan fikir sangat. Esok I akan ke rumah keluarga you dan kita berbincang. Lebih cepat lebih baik. Kalau boleh I nak nikah hujung minggu ni. Kita buat akad je, majlis tu kita buat kemudian.” Ujar Emir.
Dan Afia hanya bersetuju jika itu kemahuan Emir.


“Nur Afia, abah tanya ni. Kamu betul nak berkahwin dengan Emir hari jumaat ni? Kamu setuju?” Suara abahnya Encik Arshad menyedarkan Afia dari kenangan malam semalam. Kejadian semalam yang membawa mereka berempat di sini. Namun dia masih terpinga-pinga untuk menjawab pertanyaan Encik Arshad.
“Fia, abah tanya tu. Fia betul ke setuju nak adakan majlis jumaat ni?” Kali ini ibu tirinya Puan  Karida pula bersuara. Lirih sungguh suara ibunya itu.
“Betul bu.” Jawab Afia perlahan pada ibu tirinya setelah lama dia merenung baik buruk keputusannya buat kali terakhir. Penuh hormat.
Ibu tirinya sudah seperti ibunya. Wanita itu membesarkan dia sejak dia berumur tiga tahun lagi. Dia dibesarkan penuh kasih sayang tanpa kekurangan. Kalau tak kerana dek pertelingkahan keluarga sebelah abahnya ketika dia berumur 15 tahun, dia sendiri tak tahu yang wanita mulia bernama Karida itu bukan ibu kandungnya. Kerana wanita dihadapannya ini adalah sebaik-baik ibu yang pernah dia miliki.
“Tak cepat sangat ke sayang? Ibu takut kalau kita tak sempat nak buat persiapan nanti.” Nada Puan Karida itu jelas menunjukkan ibunya tidak berkenan sangat dengan keputusannya. Semakin sayu Afia jadinya apabila mendengar pertanyaan itu.
Selama ini Puan Karida selalu bercerita dengannya bertapa ibunya itu ingin majlis penikahan dia nanti menjadi kenangan terindah didalam hidup mereka. Ibunya itu sentiasa bercerita keterujaan seorang ibu kalau satu hati nanti hati ini terbuka untuk mengakhiri zaman bujang, ibunya itu akan mengadakan majlis paling meriah buatnya. Tapi hari ini dia telah menghancurkan impian ibunya. Masakan dia boleh menyiapkan sebuah majlis yang gilang gemilang buat ibunya kalau masa persiapan pun tidak sampai seminggu. Sedih dan pilu hati Afia apabila mengenangkan dia telah menghancurkan harapan ibunya itu.
“Kami cadang nak nikah je dulu makcik. Saya tak nak lepaskan Afia. Kalau boleh saya nak ikat dia terus. Kemudian baru kita akan adakan majlis.”Terdengar suara Emir menyampuk.
Agaknya lelaki itu takut kalau dia berubah fikiran kerana ibunya. Lagipun Afia tahu Emir benar-benar ingin mereka bernikah dengan cepat. Yelah minggu depan kandungannya sudah masuk empat minggu. Kalau boleh mereka hendak selesaikan pekara ini sebelum sesiapa pun dapat menghidu kandungan Afia.
“Kalau macam tu kemahuan mereka berdua, biarkan sajalah Ida. Emir, jumaat ni bawa kelaurga kamu ke mari. Yang mana sempat tu kita buatlah. Yang mana tak sempat tu tak apalah. Yang pentingpun akad nikah je. Kalau nak menikah hari jumaat ini macam cadangan kamu tu, tinggal lima hari je lagi. Cuma pakcik harap majlisnya diadakan dirumah inilah. Pakcik nak anak pakcik bernikah dirumah ini. Biarlah pakcik melepaskan dia pada kamu di tempat dia dididik dan dibesarkan.” Sebuah persetujuan yang diakhiri dengan permintaan yang sungguh mengharukan oleh Encik Arshad.
 Seketika semua yang ada diruangan itu terdiam sebaik Encik Arshad bersuara. Sungguh masing-masing tak sangka begitu mudah Encik Arshad memberi persetujuan. Tanpa bertanya apa-apa yang lanjut, Encik Arshad cepat menyatakan ‘Ya’ pada mereka seakan-akan lelaki separuh abad itu sudah dapat menghidu rahsia yang mereka cuba sembunyikan.
“Baik pakcik. Tentang persediaan tu pakcik dan makcik tak perlu risau. Saya akan sediakan semua. Cuma saya minta kebenaran daripada pakcik dan makcik untuk membenarkan orang-orang saya untuk buat persiapan.” Seterusnya hanya kedengaran suara Emir dan kedua ibu bapanya berbincang.

 Afia? Cukuplah sekadar tubuhnya saja berada disitu dan hanya telinganya masih berfungsi mendengar perbualan antara Emir dan abahnya. Dia sudah tak mampu bersuara apa-apa lagi. Tiada keinginan untuk bersuara. Biarkanlah Emir saja menguruskan semuanya. Lagipun untuk apa dia uruskan majlis ini sedangkan dia tahu majlis impiannya sudah musnah. Tinggal kurang seminggu saja untuk hari kejadiannya, pasti tak banyak mereka lakukan. Entah nak sediakan hantaran pun dah tak sempat lagi. Langsung tiada perasaan teruja untuk hari majlisnya.

No comments: