Saturday, August 6, 2016

KLINIK HATI : PROLOG


PROLOG


            NUR AFIA memandang sepi keputusan pemeriksaan kesihatannya tadi. Wajahnya kosong. Dia keliru sekelirunya. Apa terjadi sebenarnya? Kenapa dia tak sedar apa yang terjadi pada dirinya sendiri sekarang ini. Ya Allah dugaan apakah yang menimpanya kali ini. Apa yang berlaku sebenarnya?
            MENGANDUNG. Satu patah perkataan yang telah mengacau bilaukan mindanya sekarang. Afia yakin yang dia masih anak dara yang terjaga kesuciannya. Sesungguhnya dia memang sangat menjaga kesucian dirinya tapi kenapa dia boleh mengandung sekarang? Sedangkan dirinya ini masih sunti masih lagi. 
            Temenung jauh Afia dibuatnya. Dia bukan Siti Mariam yang dimuliakan oleh Allah S.W.T untuk mengandungkan Nabi Isa. Dia gadis biasa yang masih memegang gelaran anak dara bukan yang sudah mempunyai status isteri orang. Dia sangat menjaga dirinya. Mungkin dia bukan muslimah sejati tapi untuk melakukan dosa sebesar dosa zina tiada dalam keinginannya. Lalu bagaimana boleh terjadinya janin ini?
            Lama Afia merenung hingga hendak sinar matanya tembusi setiap objek dihadapannya. Sebelah telapak tangannya hinggap pada perut yang masih belum menampakan perubahan. Ingatkan sehari dua ini kesihatannya terganggu kerana perubahan cuaca yang tak menentu rupanya ada hal yang lebih besar telah terjadi. Perkara yang akan mengubah seratus peratus kehidupannya. Itu yang pasti.
Akhirnya dia teringatkan sesuatu. Satu kejadian yang masanya sesuai benar dengan usia kandungannya yang mencecah tiga minggu ini. Sebulan lepas ketika dia menemani adik tirinya ke Singapura, dia ada membuat ujian kesuburan seperti yang diminta oleh adik tirinya. Afia ingat lagi bertapa adik tirinya itu bersungguh-sungguh meminta dia melakukan ujian kesuburan itu.
Bersungguh adik tirinya meminta dia melakukan ujian kesuburan itu. Konon-kononnya rugi kalau dia tidak melakukan ujian tersebut sementelah adik tirinya tidak dapat melakukan ujian itu kerana datang haid. Kata Khyla adik tirinya itu, ujian itu dah di bayar harganya dan bukan murah harga satu rawatan di hospital terbaik Singapura itu. Beribu harganya. Oleh kerana pakej itu telah dibayar dan masa temu janji tidak boleh diubah, Afia sanggup melakukan ujian tersebut walau kenyataannya dia tak memerlukan ujian tersebut pun buat masa sekarang. Untuk apa dia melakukan ujian sebegitu sedangka dia langsung tak ada rancangan untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat ini.
Itu kisah sebulan lalu. Tapi sekarang kenapa ini keputusannya? Benarkah dia dah melakukan ujian kesuburan. Persoalannya benarkah ujian kesuburan yang dia lakukan bukan ujian lain? Atau rawatan lain yang membawa kepada kehamilannya ini? Ya Allah apa sebenarnya dah berlaku ini? Terlalu banyak persoalan didalam kepala Afia sekarang ini. Silapnya juga kerana tak membaca langsung helaian kertas yang diberikannya pada masa itu.
Apabila, Khyla memintanya menanda tangan surat kebenaran ujian, dia terus je menurut tanpa membaca atau bertanya lebih lanjut doktor yang ada disitu. Segalanya kerana dia percayakan Khyla. Hanya satu tempat dia bisa mendapatkan jawapannya iaitu dimana tempatnya dia membuat ujian ‘kesuburan’ itu. Biarpun dia terpaksa ke Singapura asalkan dia dapat jawapannya.


EMIR ZAFRAN merenung seketika lagi sekeping surat daripada Hendria OG Practice yang sebuah pusat kesihatan yang beroperasi di Singapura itu. Surat yang berlogo warna merah itu telah menyampaikan berita besar didalam hidupnya. Berita yang memaklumkan padanya lebih kurang lapan bulan lagi dia akan bergelar seorang ayah atau papa atau abi. Mana-mana gelaran pun sama yang penting maksudnya sama yang dia akan menjadi seorang bapa kepada sebuah nyawa yang kini hadir didalam rahim seorang wanita yang terlalu sedikit dia kenali. Yang hanya dia kenali namanya di dada surat yang baru dia baca itu.
Emir menarik nafas panjang sebelum melangkah ke dinding kaca biliknya yang menunjukkan panorama kesibukan kota. Seketika dia bertafakur sebentar. Memikirkan betulkah apa yang dia lakukan sekarang ini? Inikah jawapan kepada kesepiannya? Walaupun sudah terlalu lambat untuk dia menoleh kembali, Emir tak mampu menahan diri mempersoalkan kembali kebijaksanaan keputusan yang dia ambil setengah tahun lalu. Dia kesal kerana membuat keputusan mengikut perasaan ini. Sangat kesal apatah lagi dia hanya sedar di saat akhir bahawa tindakannya itu melanggar hukum hakam agama.
Namun segalanya dah terjadi, tiada tempat lagi untuk dia berpaling dan memadamkan kekhilafannya selain daripada dia berusaha membetulkan keadaan. Apa yang di rancang semuanya sudah berjalan lancar. Sudah ada sorang wanita diluar sana yang sedang mengandungkan anaknya. Sadisnya dia sendiri tak tahu siapa wanita itu. Sekarang ini dia hanya boleh menyalahkan diri sendiri. Entah apalah yang dia fikirkan masa buat keputusan ini dulu?
Demi keinginannya memiliki anak, dia sanggup mengupah seorang wanita bernama Khyla untuk mengandungkan anaknya. Janji telah termeterai. Kontrak telah ditanda tangani. Malah sudah ada surat yang mengesahkan melalui proses intrauterine insemination yang dijalankan telah berjaya mencambahkan benihnya didalam rahim seorang wanita bernama Nur Afia Binti Arshad.
Itulah masalahnya sekarang. Yang bersetuju dan menandatangai kontrak dengannya adalah seroang gadis bernama Khyla. Sedangkan nama yang tertera diatas surat yang baru diterimanya adalah Nur Afia. Siapa Afia ini? Bagaimana Khyla boleh menukar namanya menjadi Afia?
Walaupun siapa pun gadis itu. Dan di mana gadis itu berada. Dia akan jejaki jua. Dia perlu jejaki juga gadis itu kerana didalam rahim gadis itu adalah benihnya. Benih daripada darah dagingnya. Sesuatu yang menjadi haknya dan akan menjadi kebanggaanya satu hari nanti. Lagipun bukannya susah untuk dia jejaki gadis itu. Semua maklumat asas gadis itu ada padanya. Dia pasti dia hanya perlukan beberapa jam saja sebelum gadis itu berada dihadapannya. Itulah kuasa duit di zaman sekarang. Moga dengan ini dia dapat menebus kembali kesilapannya.












No comments: