Monday, May 22, 2017

Klinik Hati : Bab 8

BAB 8


Alhamdulillah, akhirnya dengan lafas kedua kalinya kini Nur Afia sah menjadi isteri kepada Emir Zafran. Afia tunduk menadah tangan tatkala kadi membacakan doa. Setitis dua airmatanya jatuh di telapak tangannya yang sudah cantik berinai. Terasa sejuk setitis dua airmata yang jatuh di telapak tangannya itu.
Saat ini satu yang pasti dalam diri Afia iaitu jalan untuk berpaling sudah tiada lagi. Kini dia hanya boleh pandang ke hadapan. Hanya boleh berusaha untuk melangkah dan bukan untuk berundur. Apa pun rintangan yang datang nanti, Afia mengingatkan dirinya itu adalah semua pilihan dirinya sendiri.
“Aminnn, pengantin lelaki bolehlah sarungkan cincin ke jari pengantin perempuan perempuan.” Sayup-sayup telinga Afia menangkap pengumuman yang memastikan dirinya kini seorang isteri.
Kini dia menanti hadirnya sang suami untuk menyarungkan tanda ikatan mereka. Tanda yang kini dia tidak lagi bebas mencatu kehidupannya sendiri. Tanda kini dia berkongsi hidup dengan seseorang yang bergelar suami dan tanda yang kini dia tidak lagi bersendiri mencorakkan hidupnya. Moga dia akan terus tidak sendiri hingga ke akhir hayatnya nanti.
“Assalamuallaikum Nur Afia.” Suara Emir yang memberi salam akhirnya berhasil membuatkan Afia mengangkat wajahnya. Agaknya terpujuk hatinya mendengar salam yang diberikan oleh suaminya itu.
“Waalaikumsalam.” Perlahan dan halus gemersik suara Afia menyambut salam yang dihulurkan oleh suaminya.
“Nur Afia, dengan bismillah saya lamar awak menjadi suri dalam hidup saya. Kini dengan bismillah jugalah saya meminta awak izinkan saya untuk menjadi pemimpin didalam hidup awak. Izinkan saya? ” Terkejut Afia apabila Emir meminta begitu.
Sangkanya Emir akan terus menyarungkan cincin ke jarinya seperti pengantin-pengantin lain. Tak terduga dek akalnya apabila Emir melamar dia sekali lagi dalam erti berbeza setelah lelaki itu tahu yang diri ini memang sah menjadi milik lelaki itu kini. Melamarnya di hadapan semua orang pula tu. Terharu rasanya saat melihat kesungguhan Emir menghulurkan tangannya padanya. Emir sepertinya ingin meminta dia menyambut lamaran itu dengan kerelaan hatinya.
Saat ayat-ayat indah itu terucap dari bibir Emir, seisi rumah tadinya meriah seakan terpaku mendengarnya. Afia apatah lagi. Kelu terus bibirnya bersuara sedang matanya mencari keikhlasan dari sinar mata lelaki yang kini bergelar suaminya. Yakin menjumpai apa yang dia inginkan dari sinar mata Emir. Afia merenung lama tangan yang Emir hulurkan sebelum dia sendiri dengan kerelaan hati dan penuh kesudian meletakkan tangannya diatas telapak tangan yang Emir hulurkan tanda dia menyambut lamaran Emir. Ikhlas dari hatinya.
“Alhamdulillah. Terima kasih kerana sudi menyambut lamaran I.” Serentak itu Emir menyarungkan sebentuk cincin bermata ungu di jari manisnya. Wajah Emir kelihatan lega. Benar-benar lega. Afia bahagia sungguh bahagia.
Sembil tersenyum memandang Emir yang erat menggenggam tangannya Afia menunduk lalu mencium hormat tangan Emir. Bergenang airmatanya saat hidungnya singgah sebentar di belakang tangan Emir. Tangan inilah yang dia akan harapkan untuk melindungi dan membimbingnya nanti. Moga hanya tangan ini yang akan memimpinnya di masa akan datang dan moga ikatan mereka akan berkekalan.
“Terima kasih.” Sekali lagi ucapan itu menjadi habuan telinga Afia saat dia mengangkat wajahnya.
Terasa lembut jari-jemari Emir yang menghapus pergi airmata yang bergenang dimatanya. Sebelum sejuknya bibir lelaki itu mengenai dahinya. Mengundang satu rasa yang dia sendiri tak dapat pastikan maknanya. Bertambah berdebar rasa hati Afia apabila wajah mereka bertentangan dan mata saling bertembung dalam jarak sejengkal seusai Emir mengangkat bibir dari dahinya.
“ Romantika sudah.” Usikkan nakal itu mengejutkan kedua-duanya. Afia tertunduk malu buat seketika sebelum Emir menarik tubuhnya bangkit untuk berjumpa dengan orang tuanya.
“Terima kasih abah.” Ujar Emir pada Encik Arshad. Sayu Afia mendengar ucapan terima kasih dari lelaki bergelar suaminya terhadap abahnya sendiri.
“Jaga anak abah baik-baik. Kalau satu hari nanti Emir rasa dia bukan lagi wanita yang Emir sayangi dan Emir rasa Emir tak mampu nak melindungi dia, abah harap Emir kembalikan dia pada kami. Ingat janji Emir sebelum ini.” Ujar Encik Arshad.
Menitis air mata Afia apabila Encik Arshad berkata begitu dengan suaminya. Terharu dia. Tahulah dia walaupun dia kini bergelar isteri orang tapi kasih abahnya tak akan pernah putus buat dirinya. Sendu menghiasi suasana bahagia itu. Sendu yang paling indah buat semua.
“Insya Allah abah. Selagi Allah itu berikan kudrat dan kemampuan buat saya untuk menjaga dan melindungi anak abah ini, saya berjanji anak abah tak akan balik ke rumah ini dengan airmata.” Janji Emir pada Encik Arshad.
Bersungguh-sungguh sekali bunyinya Emir menuturkan kata-kata janji itu. Afia mengerut dahinya seketika. Kenapa dihatinya saat ini terdetik sepertinya antara Emir dan Encik Arshad ada satu tali perjanjian yang dia tak ketahui. Ada sesuatu yang di sembunyikan dari dirinya. Pelik... Ahh... tak ingin menyemakkan kepala sendiri Afia berhadapan dengan Encik Arshad pula.
“Abah.” Panggil Afia lembut.
 Kini giliran dia pula yang menyalam tangan bapanya. Tangan tua itu di kucup lama. Terasa tangan kiri abahnya di atas kepalanya bagaikan memberi restu. Restu yang paling dia perlukan di dalam hidupnya.
“Anak abah dah jadi isteri orang. Abah nak Fia tahu yang pintu rumah ini sentiasa terbuka untuk Fia dan Emir.” Nasihat Encik Arshad. Dari nada suara Encik Arshad itu, Afia tahu yang abahnya turut sebak . Afia mengangguk perlahan sebelum merapati Puan Karida pula.
“Ibu.” Afia menyalami tangan ibunya sebentar sebelum tubuh ibunya di peluk sayu dan pipi ibunya di kucup berkali-kali.
“Anak ibu. Nur Afia anak ibu. Sampai bila-bila Nur Afia anak ibu.” Balas Puan Karida sambil airmatanya mengalir perlahan. Pipi Afia sendiri turut dihujani oleh kucupan demi kucupan dari ibunya.
“Ida, memanglah dia anak awak. Awak ni macam nak berpisah terus Afia pula. Tak kemana anak kesayangan awak itu Ida.” Usikkan Encik Arshad memberhentikan drama sebabak anak beranak itu. Masing-masing melepaskan perlukkan dan mengelap airmata yang tadinya berderai.
“Ibu tak perlulah risau. Insya Allah Emir akan cuba bawa Afia balik sekerap yang mungkin.” Giliran Emir pula menyalami ibu mertuanya. Nasihat yang sama diberikan oleh Puan Karida pada menantunya itu. ‘Jagalah Afia baik-baik.’
“Welcome to our family kak Fia. I always knew that you’re the one for my big brother.” Giliran Emira adik kepada Emir pula mengalu-alukan kedatangan Afia ke keluarga kecil mereka.
Gadis itu memerluk Afia erat dan Afia dengan besar hati membalas pelukkan gadis itu. Afia dah cukup kenal dengan Emira. Lapan tahun dulu dia yang bernama Afia inilah yang menjadi babysitter pada Emira yang baru berusia 14 tahun ketika itu setiap kali Emir keluar dating dengan Eryana. Jadi hubungan mereka agak rapat. Walaupun sudah lapan tahun tak bertemu, gadis cerdik itu tetap mesra dengannya setelah mereka mula bertemu kembali beberapa hari lepas.
“Adik. Dahlah tu. Abang pun tak rasmi lagi tau. Adik dah peluk lama-lama.”  Mendengar suara Emir mengusik itu akhirnya melonggarkan pelukkan erat tadi. Gelak tawa mereka yang ada di situ menyambut kata-kata lelaki itu. Tak tahu malu betul.
“ Hish tak malu betul.” Afia mendengus manja pada Emir yang sudah menarik tubuhnya rapat ke tubuh lelaki itu. Kemudian selamba saja lelaki itu memerluk bahunya.
“Ceh abang ni, dengan adik pun nak kedekut. Kurung je Kak Fia ni dalam bilik kalau tak nak kongsi dengan orang lain.” Terpacul saja kata-kata itu dari mulut Emira, langsung Afia dah tak boleh nak berlagak selamba. Membera malu wajahnya.
“Memang lepas ni along nak kurung dalam bilik pun.” Usikkan Emir itu sekali lagi disambut dengan ketawa nakal daripada semua.
“Dah.. dah jangan nak usik isteri along lagi. Tengok dia dah malu tu.” Sambung Emir. Kesian melihat Afia sudah membera wajahnya. Kata-kata itu, Afia balas dengan jelingan manja.
Saat ini tak ada yang dapat menduga kalau hati keduanya terlalu jauh untuk disatukan. Malah hati yang tak pernah bersatu sebelum ini, bagaikan sebati pada waktu ini. Kegembiraan, kebahagiaan dan perasaan lega jelas ikhlas nampak diwajah kedua-duanya dan di sinar mata mereka. Mereka nampak gembira dan bahagia sekali.


Afia membantu ibu-ibu saudaranya yang sibuk mengemas di dapur ibunya yang di cat dengan warna hijau lembut itu. Tangan bajunya kurungnya yang berwarna putih itu dilipat hingga ke siku, lalu satu demi satu pinggan diambil dan dibilas di bawah air paip yang bercucuran sebelum disabun rata. Bibirnya tersenyum lebar penuh bahagia.
Hari ini adalah hari paling membahagiakan buat dirinya. Dia tak terasa yang dia pengantin terpaksa seperti sebelumnya. Hari ini hatinya rela, rela dengan aturan takdir ini. Emir, ah mengenangkan lelaki itu bertambah manis senyuman Afia. Sungguh pandai lelaki itu membuai hatinya hinggakan tak terasa majlis mereka berlalu dengan mudah.
Mesranya Emir melayan kerabat keluarganya. Ramahnya lelaki itu menegur dan berbual dengan sesiapa saja. Hilang pesona sombong dari wajah yang dia kenali sejak lapan tahun itu. Lebih membuai rasa apabila Emir tak segan memerluk dan membelai pipinya setiap kali lelaki itu hampir dengannya. Afia dapat rasakan bertapa berdebarnya dia apabila setiap langkahnya di iringi dengan jelingan romantis Emir.
“Hai ini mencuci ke berangan ni, Afia?” Teguran daripada Mak Longnya membuatkan Afia tersedar yang pinggan ditangannya belum bertukar daripada tadi. Itulah asyik teringatkan Emir saja mana tidaknya.
“Mencuci lah Mak Long.” Balas Afia malu-malu. Pantas tangannya meletakkan pinggan yang dibilas itu ke raknya sebelum mengambil pinggan lain.
“Alah Mak Long, pengantin baru. Mak Long ni macam tak tahu pula. Tengah berdebar menunggu malam pertama lah tu.” Usikkan dari Kak Adah itu membuatkan Afia menjerit kecil.
“Hish akak ni. Mana ada.” Afia menafikan walaupun detak jantungnya mula berubah apabila teringatkan malam ini malam pertama dia dan Emir.
“Ek eleh. Tak payah nak malu-malu lah. Akak tahu, akak pun pernah juga rasa perasaan tu. Nak lagi kalau kes macam Fia ni. Dapat suami sedikit punya romantis macam tu lagilah berdebar.” Semakin galak Kak Adah mengusik. Bertambah berdebar jantung Afia jadinya.
“Yelah. Mak Long tengok Emir tu bukan main sayang lagi kat Fia. Mak Long harap dan berdoa sampai bila-bila pun hubungan kamu ni kekal.” Mak Long pula menyampuk.
“Terima kasih Mak Long.” Ikhlas dan tulus ucapan terima kasih Afia. Dia turut mendoakan kalau hubungan dia dan Emir akan kekal begini selama-lamanya.
“Assalamualaikum.” Salam yang diberi di muka pintu dapur itu membuatkan semua mata yang ada didapur itu berpaling. Namun debarannya pastilah paling di rasai oleh Afia kerana yang memberi salam adalah Emir.
“Waalaikumsalam. Hah ada apa Emir? Kamu cari Afia ke?” Afia hanya membiarkan Mak Long selaku orang paling tua di dapur itu menegur Emir yang berdiri tegak di pintu dapur sambil membawa pinggan.
“Ini, Emir nak hantar pinggan kotor.” Terdengar suara Emir menjawab sopan. Tapi entah kenapa Afia sedikit kecewa dengan jawapan Emir itu. Adakah dia mengharapkan Emir mencarinya?
“Berikan pada Afia tu.” Arah Mak Long. Ada nada mengusik di suara Mak Long lontarkan tadi.
Afia berpaling semula ke arah singki sambil menunggu ketibaan Emir dalam debaran hati yang sentiasa berdegup kencang setiap kali memandang wajah Emir sejak dari lelaki itu bergelar suaminya. Tak sanggup rasanya terus merenung setiap langkah Emir sedangkan gelagat mereka sentiasa diperhatikan oleh mata-mata nakal yang ada di dapur itu.
Naik bulu tengkuk Afia saat terasa tangan Emir singgah di belakang tubuhnya. Tangan itu bagai sengaja dilarikan secara turun naik mengikut lengkuk belakangnya. Afia rasa Emir sekarang sedang mengusap lembut belakangnya sama seperti waktu mereka dipejabat dulu.
“Nah.” Emir menyerahkan pinggan kotor ditangannya. Hanya satu saja pun pinggannya.
“Terima kasih.” Ujar Afia sambil tangannya mengambil pinggan yang di hulurkan.
“Banyak lagi? Nak I tolong?” Emir bertanya pula pada Afia.
“Sikit je lagi. Tak apalah, saya buat sendiri dulu. Awak pergilah ke hadapan.” Jawab Afia perlahan. Bukan apa, dia malu sebenarnya apabila tangan lelaki di sebelahnya tadi sudah berhenti mengusap lalu melingkari pinggangnya.
“Okay.” Emir memberi persetujuan.
Namun apa yang Afia tak sangka adalah persetujuan Emir itu disertai dengan kucupan mesra lelaki itu ke pipinya. Sepantas kilat gerak Emir mencuri cium dipipinya. Sedikit terperanjat Afia sampaikan dia terus menyentuh pipinya dengan tangan yang berbuih sabun.
“Hish, cuci pinggan ke cuci pipi ni. Tengok kan dah bersabun pipi tu.” Nakal suara Emir mengusik Afia.
Afia menjeling geram pada Emir yang mengusiknya. Namun apabila Emir menarik tangannya yang melekap di pipi lalu membilas tangannya yang bersabut itu,Afia hanya tersenyum senang. Malah bertambah manis senyumannya apabila Emir mengusap lembut pipinya menghapuskan bekas sisa-sisa sabun tadi. Mata mereka bertentangan. Buat seketika bagaikan hanya ada mereka di ruang itu.
“I ke hadapan dulu.” Afia hanya mampu mengangguk setuju apabila Emir meminta diri kehadapan sedangkan dia sebenarnya sudah lemas didalam renungan Emir.
Mungkin bukan hanya dia saja yang berperasaan begitu. Emir sendiripun dia dapat rasakan agak berat meninggalkannya. Mana tidaknya perlahan sekali jari jemari Emir meninggalkan wajahnya sebelum lambat-lambat Emir melangkah  pergi.

“Kalau macam ini gayanya majlis bersanding hujung bulan depan. Mahu orang tu bersanding bertiga. Ye tak Mak Long.” Komen dari Kak Adah setelah Emir hilang dari padangan mereka. Sebuah komen yang di sambut dengan gelak tawa mereka ada disitu. Afia hanya menahan rasa tertunduk malu.

No comments: