Monday, May 22, 2017

Klinik Hati : Bab 7


BAB 7


Sekelip mata wajah kediaman orang tua Afia berubah. Halaman rumah sudah berdiri khemah. Di dalam rumah terhias indah. Semuanya usaha Emir. Pagi itu Encik Arshad memberi persetujuan pada penikahan Afia dan Emir, petang itu juga orang-orang Emir datang menyiapkan rumahnya untuk majlis mereka. Memang berkuasa orang mempunyai duit ini, segalanya dapat diuruskan dengan mudah sekali. Rasanya majlis dia kali ini tetap akan melunaskan impian majlisnya. Mungkin lebih baik lagi. Alangkah indahnya kalau majlis seindah ini akan di sertai dengan rasa sayang dan cinta.
“Huhh...” Terdengar keluhan dari bibir Afia apabila mengenangkan majlisnya yang hanya berbaki kurang dari 24 jam lagi.
“Tak baik mengeluh sayang. Mengeluh tu salah satu tanda kekafiran terhadap Allah. Tanda tak mensyukuri.” Afia menoleh ke arah ibunya yang muncul dari belakangnya.
“Ibu.” Afia menunduk hormat pada Puan Karida.
“Masa mula-mula Emir datang kata nak kahwin dengan Fia hari tu, ibu ingat impian ibu nak tengok anak ibu ni nikah dalam gilang gemilang langsung tak tercapai. Tapi apabila ibu tengok macam mana usaha Emir nak menjayakan majlis ni, ibu rasa majlis esok hari lebih daripada apa yang ibu bayangkan. Ibu tak tahu apa yang terjadi antara Fia dan Emir sampaikan nak majlis cepat-cepat macam ni tapi ibu percayakan anak ibu. Anak ibu anak yang baik. Dahlah tak baik termenung mengeluh macam ni, nanti apa pula kata saudara-mara kalau nampak Fia mengeluh macam ni.” Pujukkan itu Afia sambut dengan senyuman hambar.
Afia tahu sekeping hati milik Puan Karida itu tetap terasa terkilan. Lagipun telinganya ini masih belum pekak pada pertanyaan berbaur curiga dari setiap mulut saudara mara mereka yang bertanyakan kenapa majlisnya ini hendak di percepatkan? Di buat tergesa-gesa? Biasalah hati manusia kan penuh perasaan curiga.
“Maafkan Fia, bu. Sebabkan Fia, ibu terpaksa berhadapan dengan sanak saudara. Ampunkan Fia bu.” Afia segera menarik tangan ibunya lalu di cium lembut.
“La kenapa ni sayang?” Hampir menitis airmata Afia mendengar pertanyaan yang tenang daripada Puan Karida.
“Fia tahu sebaban majlis yang tergesa-gesa ni, ibu kena berhadapan dengan umpatan orang. Fia dengar kalau sanak saudara kita curiga tentang penikahan Fia, ibu. Fia tahu mereka pelik kenapa majlis ni cepat sangat.” Afia tak dapat menahan rasa sebaknya. Dia kesiankan ibubapanya kerana dia, segalanya jadi kucar-kacir.
“Biar sayang. Yang penting ibu dan abah tahu anak ibu tak buat macam tu. Lagipun ibu rasa mulut mereka tu semua akan tertutup tengok persediaan majlis Fia. Kalau kita tak buka mulut, semua pasti tak sangka majlis ni baru je kita rancang. Persediaan Emir tu lebih daripada persediaan orang lain. Macam dah berbulan-bulan pula kita rancang majlis ni.” Bersama senyuman nipis, Puan Karida cuba memujuk hati itu.
Afia turut tersenyum nipis. Walaupun dari sudut hatinya dia tahu Puan Karida cuba menyedapkan hatinya tapi jauh disudut akalnya tahu ada kebenaran kata-kata ibunya itu. Ya persediaan majlis penikahannya bagaikan sudah lama di rancang oleh dia dan Emir. Segalanya nampak tersusun dan segalanya nampak terhias indah. Hiasannya pula bukan dari pilihan yang sebarangan, segalanya daripada pilihan terbaik.
Jujur Afia katakan dia terharu dengan persediaan Emir. Dia tak tahu berapa banyak duit Emir habis hanya untuk majlis esok tapi yang dia pasti kalau Emir melakukan ini untuk kepuasannya. Dan Afia memang cukup puas. Cuma sayang satu yang kurang antara mereka iaitu hantaran. Emir inginkan mereka lebih banyak masa menyiapkan hantaran mereka. Ahh.. indah bagaimanapun majlis ini kalau hatinya masih belum rela, apa gunanya juga.
“Dahlah jangan termenung lagi. Ibu sedih tengok anak ibu termenung macam ni. Sekejap lagi Mak Long datang nak inaikan Fia, sayang keluar ye. Ibu nak keluar dulu.” Apabila Puan Karida meminta diri, Afia hanya mengangguk dengan senyuman nipis lagi hambar.


Afia duduk bersimpuh di atas kusyen di ruang tamu yang nampak ceria menanti kunjungan rombongan lelaki pada esok hari hanya merenung jari-jemari yang berbalut inai itu. Sayu hati dia melihat jari-jemarinya di inai oleh Mak Longnya. Sedihnya hati mengenangkan tinggal beberapa jam lagi dirinya akan bergelar isteri orang dan kemudiannya menjadi seorang ibu. Bersediakah dia?
“Masya Allah kenapa menangis ni Fia?” kalau tak dek kerana teguran Mak Long itu, Afia sendiri tak sedar yang airmatanya sudah menitis di pipi. Sambil mengusap airmata dengan belakang tangan yang tak berinai itu Afia menggelengkan kepalanya.
“Sedih sebab nak jadi isteri orang? Janganlah sedih Fia. Sepatutnya Fia gembira sebab Fia akan melangkah ke alam baru. Ke alam rumah tangga.” Afia bertambah sebak apabila mendengar nasihat maklongnya.
Ya sepatutnya Afia gembira kerana akan menamatkan zaman bujangnya. Sepatutnya dia tengah ketawa bukan menitiskan airmata. Tapi gembirakah dia kalau penikahan ini hadir tanpa hatinya bersedia untuk menerima. Bahagiakah dia kalau pernikahan ini terjadi bukan atas rasa rela tapi kerana keadaan yang memaksa. Sukar hatinya untuk menebak masa depannya nanti. Esok hari baru dalam kamus hidupnya.
“Dahlah. Jangan sedih-sedih macam ni. Macam kena kahwin paksa pula kamu ni Maklong tengok.” Ketawa kecil Mak Longnya mengakhiri kata-kata tadi.
Afia menyambut kata-kata maklongnya itu dengan gelak kecil. Sedaya upaya berlakon ceria agar Maklongnya tak mengesyaki apa-apa. Lagipun dia tahu, Mak Longnya ini bukan macam ibu saudaranya yang lain. Maklongnya ini sangat baik dan sangat memahami orangnya.
“Macam itulah anak buah mak long. Dah jangan sedih-sedih.” Kata-kata itu Afia terima dengan hati terbuka.
Terharu rasanya hati Afia apabila mak longnya mengusap lembut belakangnya. Seikhlas hati Afia tersenyum memandang mak longnya. Baru senyumannya hendak manis terus tawar rasanya apabila Mak Su Midahnya duduk menyertai mereka. Alahai rahsia apa lagi yang hendak di korek Mak Su Midah ini daripadanya. Bukan dia tak tahu Mak Su Midah ini seorang kaki kepoh. Deejay bergerak pun dia juga.
“Hah Fia. Ni mak su nak tanya ni, kamu berdua ni cepat-cepat sangat nak adakan majlis ni kenapa? Tak menyempat sungguh. Tahu-tahu abah kamu panggil kami datang majlis kamu ni. Nasib baik sekarang ni tengah cuti sekolah.” Kecoh sungguh suara Mak Su Midah bertanya padanya.
“Maaflah Mak Su, sebenarnya dah lama dah Fia rancang nak adakan majlis. Sepatutnya majlis esok, mulanya kami nak adakan majlis bertunang je. Tapi pihak lelaki nak terus adakan majlis nikah. Abah pun setuju. Jadi itulah sebabnya majlis nikahnya esok hari.” Tertib Afia menjawab soalan Mak Su Midah dengan senyuman tawar. Ayat yang di karang oleh Emir itu keluar satu-persatu daripada bibirnya. Ah lelaki itu belum pun bergelar suaminya sudah pandai mengajar dia menipu.
“Ohh. Mak Su ingatkan kamu ni dah berisi sampai tak menyempat adakan majlis macam ni.” Tersentak Afia mendengar luahan hati Mak Su Midah. Amboi memang tak ada insurans betul mulut ibu saudaranya seorang ini.
“Kamu ni Midah. Apa pula boleh cakap macam tu. Anak buah sendiri pun kamu nak mengutuk.” Afia jadi serba salah apabila Mak Long naik angin dengan ujaran Mak Su tadi. Cepat-cepat Afia menoleh pada Mak Longnya sambil menggelengkan kepala. Tak mahu keadaan semakin kecoh.
“Ala Kak Long ni. Midah tanya je. Ni Fia, Mak Su nak tahu apa kerja bakal suami kamu tu? Mak Su tengok bukan main berduit lagi kamu berdua buat majlis nikah grand macam ni sekali. Kat luar tu bukan main cantik lagi.” Apabila Mak Su bertanya begitu, Afia dah tersenyum sinis. Mak Su dia yang seorang ini memang tak makan saman agaknya. Masih mahu juga memprovok dirinya.
“Kerja biasa-biasa je Mak Su. Ini pun sebab ada rezeki lebih sikit.” Afia membalas perlahan. Malas sebenarnya dia hendak melayan kerenah ibu saudaranya ini. Sungguh dia malas hendak melayan tapi untuk berkurang ajar dia tak sanggup pula. Nanti orang tuanya juga menanggung malu.
“Tak apalah kalau kerja biasa-biasa. Jangan kamu susahkan abah kamu semata-mata nak majlis hebat macam ni sudahlah. Kamu tengok anak Mak Su, Kak Adah kamu tu, masa dia kahwin dulu satu sen pun Mak Su dan Pak Su kamu tak keluar duit. Semuanya dia dan suaminya yang belanja sendiri. Tapi itulah Abang Man laki Kak Adah kamu tu kan peguam.” Mendengar Mak Su Midah seperti biasa menjual kisah-kisah hebat anaknya itu membuatkan Afia hanya tersenyum nipis. Hampir-hampir juga dia nak membuat rolling eyes kerana menyampah tapi di tahan juga hasrat itu. Hormatkan orang yang lebih tua. Hmmm apa nak buat.
“ Adah je yang selalu kamu dok sebut-sebut Midah. Si Intan kamu tu macam mana? Aku dengar dulu dah nak bertunang dengan anak Dato’. Jadi ke?” Terdengar suara Mak Long bertanya.
Macam menyindir pun ada. Afia tahu Mak Longnya nak membalas dendam bagi pihaknya. Bukan dia tak tahu semua kaum kerabat mereka tak gemar sikap Mak Su Midah mereka yang suka mencanang cerita, meninggikan anak-anak dia tu. Dalam pada itu naik takut pula Afia berada di tengah-tengah mereka. Takut terperangkap dalam perang saudara pula. Muka Mak Su Midah pun dah merah semacam je pada mata Afia. Harap-haraplah tak ada apa yang jadi.
“ Kak Fia.. Kak Fia, telefon Kak Fia berbunyi.” Mendengar namanya dipanggil Afia menoleh ke arah Siti yang berlari turun tangga.
Sedikit rasa lega hadir dalam hatinya. Nasib baiklah Siti anak bongsu Mak Long datang menyelamat dengan membawa telefon bimbitnya yang masih lagi mendendangkan lagu.
“ Siapa?” Afia bertanya lembut pada Siti yang sudah duduk di tepinya.
“Emir. Nama kat skrin ini Emir.” Sedikit pudar senyuman Afia saat Siti menyebut nama yang satu itu. Senyuman manis jadi tawar rasanya bila mendengar nama yang disebut tadi. Apa pulak lah ‘bakal laki’ dia ni nak?
“Tolong Kak Fia jawabkan. Tangan Kak Fia berinai ni. Buat loud speaker.” Akhirnya Afia bersuara.
Itupun hatinya terpaksa je. Hendak tak hendak je hatinya nak mengarah Siti untuk menyambung talian kerana deringan yang tak berhenti dan kerana dia tersepit di tengah-tengah mereka yang memerhatinya. Nanti apa pula mereka yang ada disitu fikirkan. Dahlah majlis mengejut dia ini cukup gempak, Afia tak nak menambah perisa dalam gosip Mak Su nya nanti. Jadi terpaksalah Afia bermanis muka, berlakon ala-ala pasangan bahagia.
“Hello awak, saya tengah berinai ni. Saya buat loud speaker ye.” Sepantas mungkin Afia bersuara sebaik talian bersambung, Sengaja dia  melunakkan suaranya menjawab panggilan itu dan memberitahu yang sekarang perbualan mereka di dengari oleh orang lain. Harap-harap orang sana fahamlah agar pemanggil dihujung sana boleh berhati-hati.
“Assalamuallaikum. Lajunya dia cakap macam bullet train je. Salam pun tak sempat nak hulur.” Usikkan itu menjamah telinga Afia dari orang dihujung talian sana.
Lembut dan manja suara Emir mengusik. Mendengar suara Emir yang sopan semacam itu membuatkan Afia lega sendiri. Takut juga kalau lelaki itu tidak faham dan menyemburnya tadi. Tak ke malu sezaman dia dibuatnya nanti. Bagus-bagus kalau Emir faham menunjukkan lelaki itu tak adalah blur sangat orangnya.
“Waalaikumsalam. Awak buat apa tu?” Saja Afia berlagak mesra bertanya khabar.
 Iyalah tak kan nak buat perangai brutal dia dengan Emir kot. Walaupun orang sebelah menyebelahnya ini konon-kononnya sibuk bercerita antara sesama mereka. Tapi Afia berani potong jarilah yang setiap pasang telinga tu tetap peka menelinga perbualan dia dan Emir.
“Tengah tunggu inai kat tangan ini kering. Berdebarlah pula. You berdebar tak?” Balas Emir dengan suara romantis.
 Amboi. Apa ke hal nya mamat ni nak buat suara macam tu. Ini yang boleh mendatangkan curiga ni. Suara Emir yang ala-ala romeo di romantika itu membuatkan Afia sangsi kalau-kalau Emir bersendiri dihujung talian. Ala, pasti lelaki tu pun berteman kat hujung sana tu. Nak ajak berlakonlah ni rupanya.
“Berdebar juga. Takut pun ada.” Afia menjawab manja.
Afia layan jelah rentak yang dibawa oleh Emir ketika ini. Namun tiba-tiba dia rasa berdebar pula. Hai betul-hetul mengikut arahan hatinya malam ini sampai dia tak dapat menipu hatinya sendiri. Hati yang tadinya suram kini sedikit bercahaya apabila Emir menelefonnya begini. Terasa debaran pengantin baru pula. Virus apa yang Emir sebarkan padanya ni?
“Janganlah takut. Kita akan tempuhinya bersama. Jangan risau ye.” Pandai sungguh Emir membalas katanya. Suara lelaki itupun seperti benar-benar memujuk dan cuba meyakinkannya. Dari hujung mata, Afia nampak senyuman-senyuman nakal terbit di bibir mereka yang ada di situ.
“Hmm..” Deheman Afia mengiyakan saja pujukkan Emir.
Lagipun Afia tak tahu membalas bagaimana. Nanti dia tersalah balas lain pula jadinya karang. Jadi dia hanya mampu mengiyakan. Tambahan sekarang ini rasanya wajahnya pun dah cukup merah menahan malu apabila yang dikiri kanannya sudah ada yang ketawa mengusik mendengar jawapannya tadi.
“Walau apapun terjadi esok hari, you tetap akan jadi milik I juga. I tahu semua ni terlalu tergesa-gesa tapi I nak you tahu yang I tak boleh tunggu lama untuk you jadi milik I. You akan tunggu I esok kan?” Suara Emir kedengaran lagi.
Aduh, semakin membuai rasa bicara Emir. Membuatkan Afia bagai berada di awang-awangan kini. Dalam banyak-banyak masa kenapalah waktu ini yang Emir nak mengada-ngada tanya soalan macam tu? Ni dia nak jawab macam mana ni?
“Awak tahu jawapan saya kan.” Balas Afia lembut. Jawapan selamat. Ingin berlebih-lebih segan pula dia dengan yang lain-lain yang duduk di sampingnya. Kalau ikutkan hatinya, nak je dia tanya adakah ‘bakal lakinya’ itu dah tersalah makan ubat ke apa? Sampai nak beromantika dimalam berinai macam ni.
“I tahu. Tunggu I esok. Take care. Assalamuallaikum.”
“Waalaikumsalam.” Afia membalas salam yang diberi sebelum meminta Siti mematikan talian. Fuhh... lega hati Afia apabila Emir mengundur diri.
“Wah Kak Fia. Romantiknya bakal suami akak.” Kecoh mulut Siti memberi komen terbuka.
Wajah Afia yang merah semakin menyala. Tertunduk Afia dibuatnya, dah tak mampu mengangkat wajah. Malu untuk mengakui, walaupun dia tak tahu kenapa Emir sebaik ini malam ini tapi hatinya tetap di suntik bahagia dengan panggilan dan layanan mesra Emir padanya tadi. Emir berjaya membuatkan hatinya merasakan mereka pasangan bercinta yang sama-sama menantikan hari bahagia mereka esok hari.
 Dan Afia sungguh berterima kasih pada Emir kerana panggilan Emir tadi mengembalikan keyakinan dan maruahnya dihadapan kaum keluarganya ini. Terima Kasih Emir. Terima Kasih kerana membuatkan hatinya kembali mempunyai daya hidup untuk merasakan debaran pengantin baru. Terima Kasih kerana membuatkan hatinya bahagia walaupun hanya untuk seketika ini. Terima Kasih kerana melayannya sebaik ini.

Esok hari yang akan merubah segalanya dalam hidup dia. Esok dia akan memegang gelaran baru sebagai seorang wanita dan bakal ibu sedikit masa lagi. Esok akan menjadi titik perubahan arah tuju hidupnya yang baru. Hanya satu yang mampu dia doakan agar di janjikan bahagia di dalam kehidupannya pada masa akan datang. 

No comments: